Prakata

Authors

  • Zuraidah Abdullah

Abstract

Jurnal Peradaban terbitan Pusat Dialog Peradaban Universiti Malaya pada kali ini mengupas persoalan peradaban pendidikan dua negara iaitu Malaysia dan Indonesia. Jurnal Peradaban kali ini memberi peluang kepada sarjana pendidikan membicarakan perkembangan peradaban pendidikan pada masa kini yang membangun berdasarkan perkembangan perubahan globalisasi dunia yang menghambat semua bangsa dunia bersaing bagi menyediakan modal insan yang lebih kompetatif dan berdaya saing. Justeru, himpunan artikel yang berwasit ini membicarakan tentang i) Manajemen Layanan Khusus pada Kurikulum Muatan Lokal di Sekolah Satu Atap untuk Penguatan Program Wajib Belajar Sembilan Tahun di Daerah Pedesaan & Terpencil, ii) Perlaksanaan Berasaskan Pengurusan Sekolah Di Sma Negeri Payakumbuh, iii) Pendidikan Tinggi di Era Globalisasi, iv) Profil Amalan Terbaik Organisasi Pembelajaran dan v) Amalan Pengajaran Guru Mata Pelajaran Pendidikan Jasmani di Sekolah Menengah Kawasan Bandar dan Luar Bandar: Satu Kajian Awal.


Artikel pertama yang bertajuk ‘Pendidikan Tinggi di Era Globalisasi’ yang terdapat di dalam jurnal ini menyentuh tentang pengurusan sistem pendidikan dari aspek pengajaran dan pembelajaran di Indonesia yang berasaskan kurikulum lokal ke arah pencapaian kompetensi kemahiran pra-vokasional bagi murid-murid Indonesia. Kurikulum ini dicadangkan agar dapat memenuhi minat dan keperluan murid di daerah terpencil Indonesia.


Seterusnya artikel kedua ‘Perlaksanaan Berasaskan Pengurusan Sekolah Di Sma Negeri Payakumbuh’ pula membicarakan ciri-ciri pengurusan berasaskan sekolah dan faktor-faktor yang mempengaruhi pengurusan berasaskan sekolah dari perspektif guru besar, guru dan jawatankuasa sekolah dan komuniti. Artikel ini memperlihat keseluruhan ahli sekolah termasuk ibubapa dan komuniti memainkan peranan di Sma Negeri Payakumbuh.


Artikel ketiga yang bertajuk ‘Pendidikan Tinggi Di Era Globalisasi’ yang membincangkan tentang sistem pendidikan tinggi Indonesia yang melaksanakan pelbagai program dilakukan untuk menyokong visi dan misi pendidikan negara tersebut. Sekali lagi artikel kali ini memperkata peri pentingnya pendidikan tinggi dalam meningkatkan kualiti kehidupan manusia dengan memastikan perkhidmatan pendidikan tinggi yang bermutu, relevan, berdaya saing internasional dan kesetaraan di semua provinsi.


Seterusnya artikel keempat bertajuk ‘Profil Amalan Terbaik Organisasi Pembelajaran’ pula membicarakan tentang amalan terbaik organisasi pembelajaran yang dilaksanakan di sekolah-sekolah di Malaysia. Profil amalan terbaik organisasi pembelajaran ini mempunyai empat elemen berkaitan visi dan misi organisasi, empat elemen berkaitan iklim dan struktutr organisasi, lima elemen berkaitan kepimpinan organisasi, empat elemen berkaitan pembelajaran individu dan lima elemen berkaitan budaya pembelajaran kolektif. Elemen-elemen ini menunjukkan sekolah yang mempunyai profil amalan terbaik organisasi pembelajaran ke arah penambahbaikan dan peningkatan prestasi sekolah.


Artikel terakhir bertajuk ‘Amalan Pengajaran Guru Mata Pelajaran Pendidikan Jasmani Di Sekolah Menengah Kawasan Bandar & Luar Bandar: Satu Kajian Awal’, membicarakan tentang amalan pengajaran mata pelajaran Pendidikan Jasmani di sekolah menengah bandar dan luar bandar yang berkaitan dengan aspek-aspek berikut: kualiti pengajaran, kesesuaian tahap pengajaran, insentif dan masa. Artikel ini mencadangkan agar pihak pembuat dasar menyemak semula kurikulum pendidikan jasmani untuk memastikan amalan pengajaran yang lebih menarik.


Kepada semua penulis artikel Jurnal Peradaban 2013 diucapkan terima kasih atas sumbangan yang diberikan. Secara tidak langsung penulisan kalian telah menyumbang dalam proses pemindahan ilmu peradaban pendidikan masa kini. Terima kasih juga kepada Unit Penerbitan Pusat Dialog Peradaban Universiti Malaya dan lain-lain pihak yang terlibat dalam penerbitan Jurnal pada kali ini. Kepada semua pembaca diucapakan selamat membaca.


Dr. Zuraidah Abdullah
Timbalan Pengarah
Unit Penerbitan
Pusat Dialog Peradaban
Disember 2013

Downloads

Download data is not yet available.

Downloads

Published

2013-12-02

Issue

Section

Sekapur Sirih