Sekapur Sirih
Abstract
Jurnal Peradaban merupakan terbitan tahunan Pusat Dialog Peradaban, Universiti Malaya. Jurnal ini menyiarkan makalah yang berfokus kepada dimensi peradaban dan merupakan jurnal yang berwasit. Pada kali ini Jurnal Peradaban telah berjaya menghimpunkan sebanyak enam (6) makalah yang membicarakan peradaban pengurusan dan pentadbiran pendidikan di dua buah negara iaitu Malaysia dan Indonesia. Berikut adalah himpunan makalah yang memperlihatkan perkembangan pengurusan pendidikan pada masa kini selari dengan perubahan globalisasi pendidikan dunia yang memberi implikasi kepada dua negara ini dari segi i) Sokongan Pengetua Dalam Amalan Komuniti Pembelajaran Profesional di Sebuah Sekolah di Johor, Malaysia; ii) Pelaksanaan Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan oleh Guru Prasekolah; iii) Supervisi Pengajaran: Pendekatan & Program Pelaksanaannya; iv) Pengembangan Budaya Mutu Sekolah Berbasis Karakter; v) Inovasi Kurikulum di Sekolah dalam Upaya Peningkatan Mutu Pendidikan; dan vi) Studi Manajemen Pendidikan: Kajian Teoritik & Praktik.
Sujirah Binti Ibrahim dan Zuraidah Binti Abdullah memperkatakan tentang sokongan pengetua dalam amalan komuniti pembelajaran profesional di sebuah sekolah di Johor, Malaysia. Makalah ini memperkatakan tentang sokongan pengetua dalam amalan komuniti pembelajaran profesional (KPP) sekolah menengah di Johor. Konsep KPP ini merupakan budaya baharu yang cuba diaplikasikan di peringkat sekolah yang memastikan guru-guru terus belajar untuk menambah baik pembelajaran murid-muridnya. Bagi memastikan amalan ini wujud dalam kalangan guru-guru di sekolah pengetua sebagai pemimpin sekolah dianggap faktor penting dalam menentukan budaya ini direalisasikan. Makalah ini telah mengenal pasti tahap amalan KPP dan sokongan pengetua dengan menyenaraikan beberapa atribut utama yang perlu diamalkan oleh guru-guru dalam membina KPP di sesebuah sekolah. Selain itu, dalam makalah ini juga telah menyenaraikan tingkah laku pengetua dalam mewujudkan amalan KPP di sekolah kajian.
Rosmah Binti Abd. Ghani dan Mariani Md Nor mempersembahkan makalah yang membicarakan tentang Pelaksanaan Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan oleh Guru Prasekolah. Makalah kajian ini berfokus kepada pendekatan kualitatif yang bertujuan memerihalkan dan memahami pelaksanaan Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan (KSPK) di prasekolah. Data dikumpul melalui kaedah pemerhatian terhadap pengajaran dan pembelajaran guru mengenal pasti pola dan kecenderungan guru dalam melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas prasekolah, di samping itu minat guru dan minat murid perlu diambil kira. Pasukan kajian ini percaya bahawa melalui cara ini matlamat murni kurikulum akan dicapai dengan berasaskan memberi sokongan kepada murid untuk berkembang secara seimbang sebagaimana yang dihasratkan oleh Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan selaras dengan Program Transformasi Negara.
Mada Sutapa dan Dwi Esti Andriani membincangkan dalam makalah yang bertajuk Studi Manajemen Pendidikan: Kajian Teoritik dan Praktik dalam Kajian Pengurusan Pendidikan (Pentadbiran Pendidikan) yang akan sentiasa menjadi isu perdebatan di institusi pengurusan dan pentadbiran organisasi pendidikan. Perdebatan ini telah menimbulkan persoalan tentang apa, mengapa dan bagaimana ilmu pengetahuan dan disiplin berasaskan pengetahuan pengurusan pendidikan wujud. Menurut pengkaji pengajian disiplin pengurusan pendidikan adalah berkait rapat dengan usaha-usaha untuk melahirkan bakal pengurus pendidikan yang berkompetensi tinggi. Pengurus pendidikan ini diharapkan menguasai tahap pengetahuan asas pengurusan pendidikan. Selain itu, pembangunan pengurusan pendidikan ini diperlukan untuk menjana teori atau konsep dalam pengurus pendidikan sebagai panduan yang praktikal dalam menguruskan pendidikan.
Maisyaroh yang lebih berfokus kepada pendekatan dan program pelaksanaan penyeliaan pengajaran di sekolah Gorontalo. Pengkaji menyatakan kualiti murid ditentukan oleh guru-guru dan pemimpin sekolah iaitu pengetua. Guru dan pengetua dituntut untuk sentiasa meningkatkan kemampuannya. Aktiviti membantu guru untuk mengembangkan kemampuannya dalam mengelola proses belajar mengajar tercapai objektif pembelajaran ini boleh terlaksana dengan mengaplikasikan penyeliaan pengajaran. Kemampuan, motivasi, dan karakterisstik guru sangat pelbagai. Untuk itu diperlukan pendekatan yang pelbagai untuk membantu menyelesaikan masalah yang dihadapinya, dengan mengaplikasikan dengan pendekatan non-direktif, kolaboratif, dan direktif. Untuk mempermudah dan memperlancar aktivitinya maka perlu disusun program pelaksanaan aktiviti penyeliaan pengajaran yang sesuai dengan keperluan sekolah.
Sowiyah daripada Universitas Lampung pula membicarakan tentang pembangunan budaya mutu sekolah berasaskan karakter guru Indonesia. Kualiti pendidikan Indonesia sehingga kini tidak menunjukkan seperti yang diharapkan. Menurut penulis, kualiti ini bergantung kepada tiga (3) perkara yang dikenal pasti iaitu (1) kemajuan sains dan teknologi, (2) persaingan yang semakin sengit disebabkan globalisasi, dan (3) kesedaran awam iaitu ibu bapa pelajar. Bagi memastikan kualiti pendidikan berada pada tahap yang baik budaya sekolah berkesan adalah faktor yang paling penting dalam membentuk pelajar menjadi optimis, berani, mempunyai kemahiran bekerjasama, dan berketerampilan. Organisasi sekolah sebagai sistem sosial yang saling berinteraksi antara satu lain membentuk nilai-nilai, kepercayaan, budaya, dan norma-norma tingkah laku organisasinya. Oleh itu, penulis dalam makalah ini menyatakan pada peringkat pembangunan budaya kualiti sekolah perlu merangka matlamat untuk membangunkan semangat animasi dengan melihat dari aspek dasar pelaksanaan, penyebaran dan pelaksanaan, dan penilaian dan tindakan susulan.
Herasni Yaman Holidjah menulis tentang inovasi kurikulum di sekolah dalam upaya peningkatan mutu pendidikan. Menurut beliau di Indonesia, kualiti pendidikan semakin tragis. Ia dibuktikan oleh data yang ditunjukkan oleh UNESCO (2000) mengenai indeks pencapaian pembangunan manusia. Laporan itu menyatakan bahawa Indonesia adalah pada kedudukan ke-102 di antara 174 negara pada tahun 1996. Pada hal pada tahun 1997 Indonesia berada pada kedudukan ke-99. Makalah ini mendapati banyak faktor yang menyebabkan perkara ini berlaku kepada penurunan kualiti pendidikan Indonesia. Kajian mengenal pasti terdapatnya (1) kekurangan kemudahan dalam aspek pendidikan, (2) ketidakcekapan sumber manusia dalam aspek pedagogi (3) kebajikan guru rendah, (4) kehadiran pelajar ke sekolah, (5) ketidakseimbangan peluang pendidikan, (6) pendidikan tidak berasaskan keperluan pelajar, (7) peruntukan kewangan untuk pendidikan kecil. Memandangkan keadaan kualiti pendidikan yang berlaku di Indonesia yang semakin merosot, adalah perlu untuk membuat inovasi kurikulum terkini berdasarkan kesesuaian, kualiti, kecekapan, keberkesanan, dan struktur pendidikan guru.
Jurnal Peradaban adalah satu platform untuk kita berdialog. Maka, pada kali ini lapan (8) makalah telah berjaya dikupas dalam pelbagai isu pengurusan dan pentadbiran pendidikan di dua buah negara berasaskan pengamatan yang kritis penulis-penulis. Mereka ini pernah menjadi guru, pengurus sekolah, pensyarah dan pembuat dasar yang telah merujuk daripada pelbagai sumber maklumat terkini. Semoga makalah-makalah ini memberi sumbangan pemikiran dan memberi ‘nilai tambah’ dalam bidang ilmu pengurusan dan pentadbiran pendidikan kepada pembaca khususnya para sarjana tempatan, pensyarah-pensyarah, guru-guru dan mahasiswa-mahasiswa di Malaysia dan Indonesia. Kepada semua pembaca diucapkan selamat membaca.
Dr. Zuraidah Abdullah
Timbalan Pengarah
Pusat Dialog Peradaban
Merangkap Penyunting Mengurus
JUN 2014