Yang Dihajati Tidak Menjadi: Sebuah Ulasan Buku Ary Ginanjar Augustan, ESQ 2008

Authors

  • Shaharir Mohd Zain

Abstract

Buku yang menjadi pegangan utama di dalam “ESQ Leadership Training” yang kontroversi itu disorot di sini mengikut sudut pengIslaman ilmu. Buku ini memang ada unsur pembinaan semula ilmu kepengurusan yang asli berasaskan prinsip Islam setelah sedikit kritikan (tetapi kurang memuaskan) dilakukan terhadap teori EQ dan SQ Barat. Yang amat kurang memuaskan itu ialah kerana tiadanya bicara soal pokoknya, iaitu emosi dan rohani itu sendiri yang tentunya berbeza antara konsep emosi dan rohani Islam dengan yang bukan Islam yang sekaligus mampu mengkritik lagi teori EQ dan SQ Barat itu. Tiadalah juga dibicarakan konsep kejayaan yang menjadi perkara besar di dalam buku ini, khususnya bicara perbezaan besarnya kejayaan Islam dengan yang bukan Islam. Ketiadan dua perkara besar inilah yang mengundang bercelarunya dan tidak mantapnya buku ini. Apa pun usaha ke arah pengIslaman ilmu di dalam buku ini bolehlah dipuji. Namun di dalam pembinaan dan pengolahan ilmu berkenaan itu, buku ini amatlah banyak memaparkan idea dan prinsip yang agak asing lagi daripada Islam dan cuba menegakkan pula kebenarannya menerusi kaca mata Islam; atau pada ketika lainnya memaparkan idea daripada prinsip Islam tetapi disesuaikan dengan teori bukan Islam atau diperkukuhkannya dengan contoh amalan atau tokoh bukan Islam yang ditafsirkan menghayati idea Islam itu. Pendekatan ini, yang terkenal di dalam pengIslaman ilmu sebagai penghayatan Bucailleisme atau “penumpangan sekaki”, amat tidak cocok dengan pengIslaman ilmu yang diingini bahkan ditunjukkan tiada manfaatnya dan boleh pula membawa umat kepada kelemahan jiwa dalam berkarya (sentiasa kalah kepada bukan Islam), dan terseret kepada mendokong liberalisme dan jamakisma/pluralisme. Contoh perkara besar yang dibicarakan di dalam buku ini dan berada di dalam kategori ini ialah penampilan teori pengosongan minda dan kepercayaan kepada kebenaran yang dibawa oleh suara hati yang kononnya menjadi amalan para Nabi; dan ramainya tokoh Barat yang diidolakannya kerana kononnya menghayati pelbagai nilai Islam, amalan Islam atau prinsip Islam yang ditonjolkan menerusi teori ESQ beliau itu; dan memaparkan dengan ramainya tokoh-tokoh Barat bukan Islam (setengahnya ateis atau tidak peduli agama) yang kononnya membawa kebenaran dan menjadi contoh peribadi berjaya. Beliau juga dengan jelasnya menyatakan satu daripada tujuan teorinya untuk pengukuhan teori suara hati pakar motivasi dan kepengurusan Barat-Kristian, Stephen Covey, menerusi satu aspek teori ESQ beliau, iaitu amalan zikir dan solat. Di samping itu, banyak juga hal-hal yang boleh dianggap tidak kena atau tersisih daripada sasaran keIslaman. Contohnya terdapatnya teori Galileo dan Copernicus di dalam al-Qur’aan; mengandaikan hukum di dalam sains termasuk di dalam sains sosial adalah bersifat pasti yang lama diabaikan Barat sekalipun; mengandaikan kebenaran teori planet dan atom yang sudah lama diabaikan Barat sekalipun; meninggalkan prinsip-prinsip utama di dalam rukun Islam dan rukun iman di dalam huraian teorinya yang kurang cermat; dan membuat tafsiran baharu iqra’ dan Suraht al-Faatihah yang berpotensi ke arah melakukan bid‘aht dholalaht. Beliau juga jelas taasub kepada bilangan lima dan enam (bilangan rukun Islam dan rukun Iman) di dalam pengkategorian perkara di dalam teorinya sehingga menjadi punca tersasarnya dan menyasarnya teori beliau itu. Beliau juga mengulangi kononnya bukti mukjizat al-Qur’aan ialah menerusi teori Abdul Razak Nawfal (bilangan kemunculan sesuatu kelas perkataan) dan teori Rashad Khalifa (kod 19). Di samping tiadanya penjelasan konsep Ihsan yang dipakai di dalam teorinya, beliau juga memperakukan “metode historis” bagi menyelesaikan keraguan yang tidak jelas dan masih meragukan walaupun jika ditafsirkan sebagai kaedah statistik sekalipun. Model hubungan manusia-manusia-Tuhan juga agak masih menghayati model lumrah tiga segi yang kami anggap kurang tepat. Ketinggalan membuat rujukan yang agak tuntas terhadap sesuatu isu yang diperkatakan atau tidak menyenaraikan rujukannya termasuk yang penting-penting juga amat menjejaskan ketanggung-jawaban pengarang buku ini. Buku ini juga amatlah mengabaikan kekuatan bahasa sendiri atas pegangan salahnya terhadap falasafah dan peranan bahasa dalam ilmu. Akhirnya, kami dapati 6 daripada fatwa Mufti Wilayah memang agak boleh dipertahankan menerusi sorotan ini tetapi selebihnya (4 lagi) itu agak meleset. Apa pun kami tidak memperakukan buku ini tidak diizinkan di pasaran, malah memperakukan supaya dibaca terutamanya oleh mereka yang berminat di dalam pengIslaman ilmu kepengurusan dan kepemimpinan serta melakukan kritikan dan penambahbaikan terhadapnya.

Downloads

Download data is not yet available.

Downloads

Published

2017-10-15