PERADABAN MELAYU-NUSANTARA
Keywords:
Peradaban dan Tamadun, Budaya, Peradaban Melayu-NusantaraAbstract
Penulis ini membahas beberapa hal yang berkaitan dengan konsep peradaban. Mula sekali diperlihatkan bagaimana istilah peradaban atau tamadun telah digunakan secara berleluasa oleh beberapa penulis di Malaysia, bercelaru dengan istilah budaya. Untuk dapat membezakan istilah peradaban dari budaya, maka dihuraikan sejarah dua konsep ini. Konsep peradaban bersumber dari kata civilisation dalam bahasa Perancis, merujuk kepada pengertian civiliser (to civilize) dan civilisé (civilized), lawan daripada pengertian barbarie (ganas) dan sauvage (liar). Manakala kata budaya (culture) adalah bersumber dari kata kultur dalam bahasa Jerman, yang ertinya kurang lebih sama dengan civilisation dalam bahasa Perancis. Oleh itu, tidaklah menghairankan kalau seorang sarjana antropologi Inggeris, E.B. Tylor, pada akhir tahun 1871, telah mendefinisikan konsep civilization bergandingan dengan konsep culture. Bagaimanapun, pada awal abad ke-20 konsep budaya dan peradaban berkembang secara sendiri-sendiri, dengan erti yang berbeza-beza, dan masing-masing menjadi konsep utama dari dua disiplin ilmu yang berasingan. Konsep budaya menjadi konsep utama dalam ilmu antropologi, manakala konsep peradaban menjadi konsep utama dalam ilmu sejarah perbandingan. Dalam bagian selebihnya, makalah ini memusatkan perhatian pada konsep peradaban. Beberapa definisi konsep peradaban dari sarjana-sarjana sejarah dibincang, dan petunjuk-petunjuknya akan digunakan sebagai kayu ukur dalam mengkaji kehadiran dan kondisi peradaban Melayu-Nusantara.