Sekapur Sirih
Abstract
Jurnal Peradaban merupakan terbitan tahunan Pusat Dialog Peradaban, Universiti Malaya. Jurnal ini menyiarkan artikel-artikel yang berfokuskan pelbagai dimensi peradaban dan merupakan jurnal yang berwasit. Pada kali ini jurnal peradaban telah Berjaya menghimpunkan sebanyak lima artikel yang membicarakan tentang i) melestarikan Adat Perpatih dalam gagasan Satu Malaysia; ii) Dialog Kehidupan dan Penjanaan Modal Insan Malaysia-Indonesia, iii) Pengaruh Peradaban Islam dalam mss1292 Kitab TIBB , iv) Analisis Sejarah Terhadap Budaya Melayu dan Cabaran Globalisasi di Malaysia, v) Ciri-Ciri Kepimpinan Melalui Ungkapan Melayu Oleh Tenas Effendy dan vi) 1-Malaysia Dari Perspektif Ketamadunan (Hadhari) Sebuah Inspirasi Daripada Ibnu Khaldun.
Prof Emeritus Dr Osman Bakar 1-Malaysia Dari Perspektif Ketamadunan (Hadhari) Sebuah Inspirasi Daripada Ibnu Khaldun: menghuraikan konep 1 Malaysia daripada perpektif Islam hadhari yang dikenali sebagai perspektif ketamadunan dengan membincangkan beberapa idea dalam ilmu ketamadunan berkaitan dengan gagaan ini yang diinspiraikan oleh pemikiran Ibnu Khaldun. Penulis telah menyenaraikan empat prinip asas yang mendasari teori pembinaan tamadun yang seterusnya membincangkan tiga unur aa yang penting dalam pembinaan tamadun dari segi umber manusia, agama dan sumber alam. Pembaca yang membaca artikel ini pasti akan mengenal pati beberapa halangan yang dihadapi untuk membentuk 1-Malaysia yang dilihat dari sudut Ketamadunan (Hadhari) daripada Ibnu Khaldun.
Ani Binti Haji Omar melalui artikel ’Adat Perpatih dalam gagasan Satu Malaysia’ telah cuba membicangkan tentang adat yang mementingkan peraturan hidup bermasyarakat di Negeri Sembilan yang dikenali sebagai Adat Perpatih. Adat Perpatih merangkumi suatu sistem sosiobudaya yang kompleks dan lengkap serta murni. Sekiranya diamalkan secara terurus ia boleh membina masyarakat yang berbudi bahasa, adil, sejahtera dan bersatu padu sesuai dengan nilai-nilai yang ingin diterapkan dalam gagasan Satu Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Najib Tun Razak.
Suraya Sintang, Prof. Madya Dr Khadijah Binti Mohd Khambali @ Hambali Dan Nor Adina Binti Abdul Kadir mempersembahkan ‘Dialog Kehidupan Dan Penjanaan Modal Insan Malaysia-Indonesia’: Malaysia-Indonesia mempunyai ciri persamaan dari segi masyarakat beraneka agama, budaya, bahasa dan rumpun etnik dengan persekitaran iklim yang sama mewarnai kedua-dua buah negara tersebut. Namun begitu, terdapat perbezaan dari aspek sistem pentadbiran apabila Perlembagaan Malaysia mengiktiraf Islam sebagai agama rasmi tanpa menafikan kebebasan beragama kepada masyarakat non-Muslim. Sebaliknya, Indonesia mempraktikkan kebebasan beragama dengan membenarkan semua agama bebas dianuti dan diamalkan oleh penduduknya tanpa meletakkan sebarang pengiktirafan secara rasmi kepada satu agama tertentu. Pun begitu, hubungan antara masyarakat beraneka etnik dan pelbagai anutan kepercayaan ini terus terjalin baik dan harmoni berasaskan dialog kehidupan yang dilihat sebagai mekanisme menjana modal insan yang.mampu berdaya saing. Penulisan ini tidak bermaksud untuk membuat perbandingan mengenai kebebasan beragama antara kedua-dua negara. Sebaliknya, memfokuskan inisiatif Muslim di Malaysia dan Indonesia dan sumbangan mereka dalam aktiviti dialog kehidupan yang melibatkan penyertaan pelbagai lapisan masyarakat. Bagi memahami fenomena ini, kajian ini menelusuri beberapa pengalaman dialog kehidupan yang diadakan oleh agen penggerak dialog sama ada dari kalangan NGOs mahupun pengalaman orang perseorangan dalam pelbagai saluran formal mahupun informal. Hasil kajian mendapati dialog kehidupan di Malaysia-Indonesia berupaya menjana pembangunan modal insan yang bersifat terbuka dan mudah mengakomodasikan diri dengan pelbagai persekitaran berbeza.
Roziah Sidik @ Mat Sidek, Azizan Baharuddin dan Rahimin Affandi Abd Rahim, menunjukkan ‘Pengaruh Peradaban Islam Dalam Mss1292 Kitab Tibb , Mss1292 Kitab Tibb’ adalah sebuah manuskrip yang dimiliki oleh Pusat Manuskrip Melayu, Perpustakaan Negara Malaysia. Seluruh kandungannya berkait dengan perubatan penjagaan kesihatan orang Melayu. Makalah ini juga ditulis untuk memaparkan aspek peradaban Islam yang wujud di dalam manuskrip tersebut. Dengan menggunakan kaedah analisis kandungan kami mendapati manuskrip ini sarat dengan pengaruh peradaban Islam. Pengaruh itu meliputi penggunaan wafak berunsur Islam, penggunaan ungkapan, baca-bacaan dan hukum-hakam yang menunjukkan wujudnya anasir Islam, penggunaan ayat al-Qur’aan, Sunnah, doa dan kata-kata Sahabat serta ulama.
Prof. Madya Dr. Rahimin Affandi Abd. Rahim, Prof Dato Dr Othman Md. Yatim, Prof Dato Zainal Abidin Borhan dan Badriah Nordin, ‘Budaya Melayu Dan Cabaran Globalisasi Di Malaysia’.Analisis Sejarah: Setiap manusia mempunyai keupayaan akal membina budaya dan oleh itu manusia adalah satu-satunya makhluk yang berbudaya. Kebudayaan boleh dikatakan sebagai sistem berinteraksi manusia dengan alam berkaitan dengan nilai, kepercayaan, perilaku dan artifak. Kemampuan berinteraksi dengan alam ini yang menjadi satu daripada asas kepada pengetahuan sains. Secara fitrah, setiap manusia dari pelbagai bangsa apa sekalipun pasti akan mempunyai keupayaan akal untuk membina budaya dan tamadun yang tersendiri. Dalam perjalanan sejarah manusia, kebudayaanlah yang membezakan kelompok-kelompok manusia. Namun demikian, makalah ini membincangkan budaya Melayu dan cabaran globalisasi di Malaysia. Perkembangan globalisasi ini menunjukkan bahawa perkara itu bukan sahaja menyentuh tentang hubungan antara pelbagai pelusuk dunia, tetapi juga berkaitan dengan penyebaran budaya. Berdasarkan hal tersebut, makalah ini dirangka khusus untuk memperlihatkan dampak globalisasi terhadap budaya Melayu dengan contoh-contoh yang khusus.
Dr. Zuraidah Abdullah, Prof Madya Dr. Zahir Ahmad dan Ridzma June pula mempersembahkan ‘Ciri-Ciri Kepimpinan Melalui Ungkapan Melayu Oleh Tenas Effendy’. Penulis telah memperlihatkan peranan Ungkapan Melayu iaitu genre yang masih hidup sehingga kini dijadikan sebagai bahan kajian kepemimpinan Melayu. Genre ini telah menunjukkan kebijaksanaan masyarakat Melayu menyusun kata-kata yang penuh bermakna secara ringkas, padat dan tepat kepada apa yang ingin dimaksudkan. Penulis ini telah menjadikan genre ini sebagai data kajian bagi melihat ciri-ciri kepemimpinan Melayu. Kepemimpinan Melayu adalah menjadi fokus utama bahasan penulis. Pembaca akan dapat memahami tentang definisi kepimpinan, kedudukan, fungsi, dan tanggungjawab pemimpin serta sifat pemimpin Melayu dari segi pemikiran, etika, dan estetika.
Sidang Editor